Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V menitahkan rakyat negeri ini supaya membuat pendaftaran atau mendapatkan vaksin Covid-19 secara terus (walk-in) tanpa janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri ini.

Desakan baginda itu bagi membolehkan Kelantan berjaya mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang 30 September ini seperti yang dirancang.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, dalam masa yang sama baginda juga menzahirkan dukacita kerana Kelantan adalah antara negeri yang mempunyai peratusan penerima vaksin yang terendah iaitu 50 peratus.

"Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, baginda menyarankan agar semua pihak menggembleng tenaga memperluaskan Program Outreach (bantuan) Vaksinasi di seluruh Kelantan terutama sekali di kawasan kampung dan pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk.

"Baginda amat berharap rakyat negeri ini akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik sekali gus hospital tidak lagi terbeban serta rawatan untuk pesakit lain tidak terjejas.

"Baginda juga mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan bagi membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Nik Mohd Shafriman berkata, baginda sangat berharap agar rakyat negeri ini akan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka kerana pengambilan vaksin adalah tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Katanya lagi, baginda turut merujuk kepada resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan Vaksin Covid-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Baginda juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini termasuk sukarelawan.

"Penghargaan juga dizahirkan untuk jasa semua petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit Covid-19 sejak tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 9:39 PM