PETUGAS kesihatan melakukan ujian calitan Covid-19 ke atas peniaga ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing hari ini. FOTO Ghazali Kori
PETUGAS kesihatan melakukan ujian calitan Covid-19 ke atas peniaga ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Kambing hari ini. FOTO Ghazali Kori
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan sebanyak 18,547 kes hari ini dengan 311 kematian menjadikan jumlah keseluruhan 1,880,734 kes.

Angka itu menjadikan sebanyak 252,002 kes aktif direkodkan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 1,880,734 kes positif Covid-19 yang direkodkan sehingga hari ini, 1,721,274 kes atau 91.5 peratus terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksin.

"Ia membabitkan 1,441,205 kes atau 76.6 peratus terdiri daripada mereka tiada sejarah vaksinasi dan 280,069 kes atau 14.9 peratus pula mereka yang tidak lengkap divaksinasi, manakala hanya 159,460 kes atau 8.5 peratus mempunyai sejarah vaksinasi lengkap.

"Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 18,547 kes dilaporkan, 18 kes adalah kes import, manakala 18,529 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Sarawak kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 3,200 kes diikuti Selangor yang merekodkan sedikit peningkatan dengan 2,407 kes dan Johor dengan 2,174 kes.

"Terdapat 1,318 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) yang mana 977 kes positif Covid-19, manakala 341 disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Sementara itu, sebanyak 735 kes memerlukan bantuan pernafasan yang mana 447 kes positif Covid-19; 288 kes disyaki atau kemungkinan dan kes dalam

siasatan," katanya.

Katanya, sebanyak 18,902 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 1,609,930 kes atau 85.60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Terdapat 311 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 270 warga tempatan serta 41 warga asing dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 55 kes diikuti Johor Sabah (53 kes) dan Sabah (43 kes).

"Kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 18,802 kes atau 1.00 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 8:00 PM