GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menafikan dakwaan pihaknya menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang di Sabak Bernam sebagai gantian berikutan penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).

PKPS dalam kenyataannya berkata, tapak projek pembangunan pertanian bersepadu dikenali sebagai Selangor Smart Agro Park (SSAP) itu adalah tanah hak milik PKPS berstatus pertanian dan bukan berstatus HSK.

Menurutnya, status itu juga sudah disahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) pada 16 April 2021 serta Pelan Fizikal Negara, Pelan Struktur Negeri dan Pelan Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

"PKPS ingin menegaskan bahawa kami tiada kaitan dengan isu nyahwarta HSKLU serta menafikan sekerasnya tuduhan berkenaan. Ia adalah kenyataan berniat jahat serta subversif bagi merosakkan imej PKPS serta secara tidak langsung ingin mensabotaj inisiatif kerajaan negeri yang sudah dirancang bagi kepentingan rakyat.

"Ini dilakukan dengan mengaitkan nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang akan dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor," tulis kenyataan itu, hari ini.

PKPS merujuk kepada laporan beberapa portal berita yang memetik kenyataan media gabungan badan bukan kerajaan (NGO) The Coalition for the Protection of Selangor's Forests serta kenyataan Pengarah Global Environmental Centre Faizal Parish dalam satu program temu bual pada 2 September lalu

Jelas kenyataan itu, PKPS ketika ini sedang menyiapkan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) Negeri Selangor sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan di tapak SSAP seperti yang diarahkan oleh Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) menerusi surat kelulusan bertarikh 31 Mei 2021.

"JAS sudah memberikan kebenaran bagi kerja-kerja pembaikan atau remedi seperti pembinaan sistem perparitan, kolam takungan, penstabilan tanah, kawalan hakisan tanah dan kelodakan dan kawalan saliran tanah gambut.

"Ia berikutan kawasan berkenaan sering dilanda bencana banjir serta selalu diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak tahun 2000," katanya.

Menurutnya, pihak terbabit sepatutnya membuat laporan dan mendapatkan penjelasan daripada PKPS atau kerajaan negeri sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas.

PKPS berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terbabit dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, PKPS memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan mengenai imej satelit yang menunjukkan bahawa berlakunya pencerobohan oleh pihak luar di dalam kawasan SSAP dan sekitar HSK Sungai Panjang pada 28 Ogos lalu.

"Berdasarkan maklumat tersebut, PKPS sudah membuat langkah pencegahan dengan mengarahkan pemantauan lebih ketat di keseluruhan tapak hak milik kami seluas 971 hektar.

"PKPS juga sedang mengambil langkah-langkah pencegahan khas bagi memastikan tidak lagi berlaku kejadian pencerobohan memandangkan kami sedang mematuhi notis arahan pemberhentian kerja (SWO) yang dikeluarkan oleh JAS pada 8 April lalu dan kami berpandangan terdapat pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi ini," jelas kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 3:54 PM