Mayat Mohamad Nor Hafeez Mohamed, 27, yang hilang sejak malam Sabtu lalu ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 9.30 malam tadi di dalam sungai di Kampung Baru Nelayan, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Mayat Mohamad Nor Hafeez Mohamed, 27, yang hilang sejak malam Sabtu lalu ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 9.30 malam tadi di dalam sungai di Kampung Baru Nelayan, di sini, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Siti Rohana Idris


Tumpat: Misteri kehilangan lelaki sejak Sabtu lalu terungkai apabila dia ditemukan lemas dalam sungai di Kampung Baru Nelayan, di sini semalam.

Mayat Mohamad Nor Hafeez Mohamed, 27, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 9.30 malam selepas pencarian dilakukan sejak awal pagi semalam.

Abang mangsa, Azlan Mohamed, 33, berkata, adiknya keluar dari rumah selepas Maghrib Sabtu lalu dan memberi alasan mahu berjumpa rakan.

"Sebelum keluar, emak sempat berpesan kepada dia agar solat Maghrib dan selepas itu dia terus tidak pulang ke rumah.

"Pagi semalam saya dan penduduk kampung keluar mencarinya selepas bertanya kepada rakannya, namun ramai yang memaklumkan tidak berjumpa dengan Hafeez.

"Malam tadi saya dimaklumkan Hafeez ditemui dalam sungai tidak jauh dari rumah. Walaupun sangat terkejut, kami sekeluarga reda dengan berita ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azlan berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah adiknya minggu lalu, namun tiada perubahan dikesan dan tidak menjangkakan tragedi itu boleh berlaku.

Jenazah Mohamad Nor Hafeez dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tapang di sini jam 10 pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya dimaklumkan penemuan mayat seorang lelaki dalam sungai pada 9.45 malam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan masih berpakaian lengkap serta tiada unsur jenayah.

"Mayat dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:35 PM