Rakaman CCTV menunjukkan tabung derma di sebuah masjid di Padang Pauh di daerah Padang Besar dilarikan suspek. FOTO IHSAN PDRM
Rakaman CCTV menunjukkan tabung derma di sebuah masjid di Padang Pauh di daerah Padang Besar dilarikan suspek. FOTO IHSAN PDRM
Aizat Sharif


Padang Besar: Polis menahan seorang wanita disyaki terbabit melarikan tabung derma masjid di Padang Pauh, di sini, pada 28 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan di rumahnya di Arau pada 9.15 malam 29 Ogos lalu.

"Kecurian tabung masjid dipercayai berlaku pada 9.15 malam 28 Ogos selepas ahli kariah masjid yang selesai bersolat Isyak mendapati satu tabung kayu diletakkan di tepi pintu masjid sudah tiada.

"Mereka memaklumkan pada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid itu dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang individu disyaki wanita melarikan tabung berkenaan.

"Susulan itu, laporan dibuat di Balai Polis Beseri 12.36 tengah malam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan dan risikan dijalankan, polis berjaya mengenalpasti suspek sebelum menahannya pada 29 Ogos.

Menurutnya, polis menemui tabung masjid dicuri itu di dalam tandas di Pasar Beseri dan wanita berkenaan mengaku mencuri tabung masjid untuk menggunakan wang bagi mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit.

"Suspek pergi ke masjid itu pada 7 malam sebelum mengambil makanan dari ruangan 'food bank' masjid dan datang semula untuk mencuri tabung ketika jemaah sedang solat Isyak.

"Suspek direman sehingga esok dan ujian saringan air kencingnya turut didapati positif dadah jenis syabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 8:43 PM