Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengarah syarikat menanggung kerugian RM406,400 apabila ditipu oleh tiga individu dalam urusan mendapatkan gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, lelaki berusia 33 tahun itu hanya menyedari diperdaya selepas membuat semakan akaun bank digunakan suspek.

"Kejadian berlaku pada 28 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan memaklumkan Istana Negara akan mengurniakan darjah Seri Utama Mahkota Wilayah dan sebidang tanah berkeluasan lebih dua hektar.

"Pada hari sama juga, mangsa menyerahkan salinan maklumat syarikat dan butiran peribadi kepada individu terbabit di sebuah restoran berhampiran Pintu 2 Istana Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Mahidisham berkata, pada 6 April lalu mangsa diarahkan membuat bayaran sebanyak RM9,400 ke dalam satu akaun bank yang diberikan suspek.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat beberapa transaksi bayaran berjumlah RM247,000 ke akaun bank lain yang diberikan suspek antara 30 April hingga 17 Jun lain, selain turut menyerahkan wang tunai berjumlah RM150,000 kepada suspek.

"Selepas bayaran dibuat, mangsa mengesyaki sesuatu lalu membuat semakan ke atas akaun bank diberikan dan mendapati akaun itu atas nama syarikat yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

"Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis kini giat mengesan ketiga-tiga suspek itu.

"Orang ramai dinasihati berhati-hati dan menggunakan saluran betul dalam urusan mendapatkan anugerah atau gelaran serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 4:22 PM