Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid disifatkan sebagai seorang individu yang berkhidmat dengan komitmen tinggi.

Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies Dr Farhan Nizami berkata, pihaknya bertuah kerana pernah mendapatkan khidmat Allahyarham sebagai Lembaga Pemegang Amanah selama lebih dua dekad.

"Beliau berkhidmat dengan komitmen yang tinggi dan nasihat bernasnya akan sentiasa dirindui. Kami beruntung mendapat khidmat beliau sebagai Lembaga Pemegang Amanah selama lebih dua dekad.

"Bagi kami di Oxford, Tun (Ahmad Sarji) akan sentiasa diingati atas galakan dan sokongannya terhadap hasil karya Oxford Centre for Islamic Studies," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berita pemergian Allahyarham adalah khabar duka bagi pihaknya.

"Perkhidmatan Allahyarham di negara ini akan sentiasa dirindui seluruh rakan dan kenalan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Tun Ahmad Sarji, 82, meninggal dunia, awal pagi hari ini.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu hantaran di Facebook.

Allahyarham adalah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

Sebelum ini, Allahyarham menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras.

Menurut catatan Unit Perhubungan Korporat Ikim, Ahmad Sarji yang dilahirkan pada 16 September 1938 adalah Pengasas dan Pengerusi Ikim pertama dilantik pada 1992, sehingga disandang pula bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 1 September 2015.

Pada 4 Februari 2019, Ahmad Sarji dilantik semula sebagai Pengerusi IKIM sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 8:34 PM