Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Penularan wabak Covid-19 menyebabkan industri pelancongan negeri Kelantan terjejas dan mengalami kerugian sebanyak RM2.6 bilion tahun lalu berikutan penyusutan lebih 2.2 juta pelawat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata, ia berdasarkan angka Jabatan Perangkaan.

Katanya, Covid-19 menyebabkan kekurangan pelancong masuk ke negeri ini kerana pergerakan dihadkan.

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menggangarkan sektor pelancongan negara mengalami kerugian RM45 bilion tahun lalu," katanya ketika menjawab soalan Mohd Syahbuddin Hashim (BN- Galas) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan ke-14 di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

MD Anizam Ab Rahman hadir pada Persidangan DUN Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MD Anizam Ab Rahman hadir pada Persidangan DUN Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Md Anizam berkata, kerajaan negeri juga mengaturkan beberapa bantuan kepada pemain industri yang melebihi RM724,750 termasuk kepada pihak hotel, bot pelancong, pemandu pelancong dan sebagainya.

"Antara bantuan yang kita berikan termasuk bantuan sanitasi kepada hotel yang berdaftar dengan Motac di negeri ini, wang tunai RM1,000 masing-masing kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pemandu beca dan sebagainya.

"Di samping sumbangan kerajaan negeri, kita turut menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat yang bantu untuk meringankan beban," katanya.

Beliau berkata, untuk memajukan kembali industri pelancongan, kerajaan negeri menerusi gelembung pelancongan membuat pelbagai promosi termasuk secara maya.

LALUAN utama sepanjang jalan Tumpat  menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra memasuki bandar Kota Bharu lengang berbanding hari biasa susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
LALUAN utama sepanjang jalan Tumpat menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra memasuki bandar Kota Bharu lengang berbanding hari biasa susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19, Jun lalu. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:52 AM