GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali

Papar: Gangguan masalah air paip berbau busuk dan hanyir seperti najis yang berlaku sejak semalam mendatangkan keresahan kepada semua penduduk di daerah ini.

Seorang penduduk, Nurazreen Ali Zaini, 29, berkata, bekalan air paip di rumahnya mula mengeluarkan bau busuk pada 1 pagi hari ini.

"Saya mula perasan air paip di rumah berbau busuk walaupun pada semalam ada menerima notis dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) mengenai pencemaran bau pada air mentah.

"Tambahan pula terdapat banyak masalah seperti ketiadaan air yang timbul sejak kebelakangan ini membuatkan kami berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air untuk mandi, memasak dan melakukan aktiviti harian.

"Bekalan air mineral botol di sini juga sudah habis di kebanyakan kedai disebabkan ketiadaan air. Diharapkan pihak berkuasa dapat mengatasi masalah ini dengan secepat mungkin," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Yatim Naming, 29, berkata, dia menyedari air paip di rumahnya berbau busuk seperti najis dan bekalan air paip juga menjadi perlahan sejak 6 petang semalam.

"Kakak saya yang kebetulan sedang mencuci pinggan pada mulanya menyangka bau itu berpunca dari air kencing kucing di sinki dapur tetapi apabila saya mendapati ramai orang mengadu mengenai perkara sama di media sosial, barulah saya tahu bau itu berpunca daripada bekala air.

"Disebabkan itu, kami juga ragu-ragu dengan tahap kebersihan air paip terutamanya untuk kegunaan minum, mandi dan juga mengambil air wuduk," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Papar Hadzlan Jablee ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima pengesahan dari JANS masalah terbabit berpunca dari sisa buangan haiwan ternakan yang dilepaskan dari ladang ternakan ayam.

Menurutnya, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut untuk mencari ladang ternakan ayam yang bertanggungjawab membuang sisa buangan haiwan ternakan ke sungai berdekatan.

Beliau juga berkata, dipercayai ladang ternakan ayam terbabit mengambil peluang membuang sisa buangan haiwan ternakan ke sungai berikutan hujan lebat semalam.

"Esok pihak kami akan mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menyiasat secara lanjut mengenai perkara terbabit.

"Pihak kami juga sudah berbincang dengan pihak JANS dan mereka sudah melakukan untuk proses 'flushing' di Stesen Air Kinarut bagi memulihkan bau air tersebut.

"Dijangkakan bau air terbabit akan pulih pada petang ini," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 3:41 PM