Dua anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur membantu menyelamatkan tiga beranak yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang berhampiran Jalan Kuching, semalam.
Dua anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur membantu menyelamatkan tiga beranak yang terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang berhampiran Jalan Kuching, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Kami segera berusaha menyelamatkan tiga beranak itu sejurus mendapati mereka hampir dihanyutkan arus deras Sungai Klang," ujar anggota polis trafik, Lans Koperal Hafizul Khalis Anuar, 31.

Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, dia bersama rakan setugas, Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah bergegas

menyelamatkan mangsa yang terperangkap di tebing Sungai Klang berhampiran Jalan Kuching di sini.

"Ketika kejadian, kami dalam perjalanan pulang daripada bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menuju ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

"Sebaik menerima maklumat , saya dan Wan Muhammad bergegas ke lokasi itu. Sebaik tiba di sana, saya dapati seorang lelaki sedang cuba menyelamatkan motosikal miliknya yang ditenggelami air sungai.

"Mulanya kami menyangka hanya terdapat lelaki itu di lokasi kejadian. Namun lelaki itu memaklumkan isteri serta anak perempuannya turut terperangkap bersamanya selepas paras sungai naik mendadak," katanya tadi.

Mereka kemudian mengarahkan wanita dan anaknya itu berjalan melalui laluan parit bertangga di kawasan berhampiran.

"Wanita terbabit kemudian menghulurkan anaknya melalui saluran parit berkenaan sebelum saya menyambutnya. Kami turut dibantu orang awam sebelum berjaya menyelamatkan wanita terbabit dan suaminya/

"Bagi mengelakkan motosikal mangsa dihanyutkan arus deras, kami mengikat tali pada motosikal itu," kataanya.

Dia difahamkan tiga beranak itu datang ke lokasi berkenaan untuk memancing ikan sebelum air sungai melimpah dan menenggelamkan sebahagian motosikal mereka.

"Mungkin motosikal itu adalah satu-satunya kenderaan dimiliki keluarga terbabit. Namun saya juga bersyukur kerana berjaya menyelamatkan nyawa tiga beranak itu," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan dua anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berjaya menyelamatkan tiga beranak yang terperangkap di tebing sungai.

Malah detik cemas itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi 19 saat yang memaparkan dua anggota polis trafik membantu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 5:26 PM