Mohd Roji Kawi


Bau: Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Kampung Melayu Seniawan Seberang, di sini, ketika jenazah mangsa tembakan di Balai Pengawal di Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan, Jumaat lalu tiba untuk dikebumikan, hari ini.

Ketibaan jenazah pada 9 pagi diiringi pegawai dan anggota TUDM dengan keadaan cuaca mendung dan hujan renyai-renyai.

Pengebumian jenazah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 30, dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan dengan kira-kira 50 anggota tentera dan penduduk kampung memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

SHIMA (dua kanan) Sharifah Syafa Syakira (kiri) dan Sharifah Syafa Syahirah ketika pengebumian. FOTO Mohd Roji Kawi
SHIMA (dua kanan) Sharifah Syafa Syakira (kiri) dan Sharifah Syafa Syahirah ketika pengebumian. FOTO Mohd Roji Kawi

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di kediaman bapanya di Kampung Siniawan Lot, tengah malam tadi, selepas selesai menjalani proses bedah siasat.

Isteri arwah, Shima Mustapha, 29, bersama dua anak perempuannya, Sharifah Syafa Syakira Sharif Mohd Siddiq Al-Attas, 5, dan Sharifah Syafa Syahirah, 3, kelihatan sayu sepanjang pengebumian.

Anak bongsunya, Syarif Edrogan yang baru berusia dua bulan, tidak dibawa bersama ke tanah perkuburan itu.

Turut hadir, Panglima Wilayah Udara Dua, Mejar Jeneral Datuk Shamsudin Kassim TUDM serta beberapa pegawai kanan Skuadron 330 TUDM, Kota Samarahan.

Shamsudin turut menyerahkan bendera TUDM serta Jalur Gemilang kepada Shima pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Allahyarham Sharif Mohd Siddiq Al-Attas meninggal dunia di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan pada 9.20 pagi Jumaat iaitu dua jam selepas dia terkena tembakan rakan setugasnya pada 7.15 pagi.

Tiga lagi anggota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Koperal Udara Ho Swee Boon, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat dan Laskar Udara Kanan Nesly Nabau.

JENAZAH Sharif tiba di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Seniawan Seberang. FOTO Mohd Roji Kawi
JENAZAH Sharif tiba di Tanah Perkuburan Kampung Melayu Seniawan Seberang. FOTO Mohd Roji Kawi

TUDM dalam kenyataan memaklumkan jenazah Mohammad Ehsan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Asajaya Laut, Samarahan, Ho Swee Boon pula akan disemadikan diTanah Perkuburan Batu 8 Pasir Ulu, Lundu manakala Nesly akan disemadikan di Nirvana Memorial Park, Sibu.

Upacara pengebumian tiga lagi mangsa itu dijangka disempurnakan sebaik proses bedah siasat selesai, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 12:52 PM