GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Adam Arinin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Adam Arinin
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Gugur kewajiban memandikan atau tayamum jenazah pesakit Covid-19 sekiranya dibimbangi boleh menyebarkan penyakit kepada pihak yang menguruskannya.

Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Pertama Tahun 2021 yang bersidang pada 7 Ogos setelah diperkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj pada 11 Ogos lalu.

"Hukum asal pengurusan jenazah Muslim termasuk jenazah pesakit Covid-19 hendaklah diurus dengan sempurna melalui kaedah pengurusan jenazah dengan dimandi, dikafan, disembahyang dan dikebumikan dalam tempoh masa seminimum mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sekiranya terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa pengurusan jenazah berisiko dijangkiti dengan penggunaan air, maka hendaklah digantikan dengan tayamum pada anggota badan jenazah dengan mengambil kira SOP ditetapkan.

"Bagaimanapun sekiranya terdapat halangan atau dibimbangi boleh membawa kepada penyebaran penyakit, maka gugur kewajipan memandikan dan tayamum ke atas jenazah dan memadai dengan dikafan, disembahyang dan dikebumikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam melaksanakan keputusan ini, pihak hospital dan pihak berkuasa agama perlu menyediakan tenaga kerja, segala kelengkapan dan keperluan yang mencukupi dalam pengurusan jenazah Covid-19.

"Keputusan ini sedang dalam proses pewartaan, namun pelaksanaan keputusan ini berkuatkuasa pada tarikh perkenan Sultan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:55 PM