Sebuah kediaman hangus dijilat api di Jalan Suria, Taman Suria Mas di Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Sebuah kediaman hangus dijilat api di Jalan Suria, Taman Suria Mas di Kluang Johor. FOTO IHSAN BOMBA
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Tindakan pantas kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun membawa lima adiknya keluar menyelamatkan diri mengelak tragedi tidak diingini apabila kediaman mereka terbakar dalam kejadian di Jalan Suria, Taman Suria Mas di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, Mohamad Putra Zaefrul bergegas membawa adik beradiknya lari menyelamatkan diri selepas menyedari langsir di tingkat dua rumah sewanya itu terbakar.

Menurut bapanya, Mohamad Zairul Jenal, 31, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas yang merebak ke siling rumah dan memusnahkan keseluruhan tingkat dua rumah berkenaan.

"Kebakaran mula disedari anak perempuan saya berusia sembilan tahun yang terhidu bau hangit sebelum abangnya sulungnya memeriksa di tingkat atas.

"Abangnya cuba memadamkan api, tetapi kebakaran langsir cepat merebak ke siling dan membuatkannya dia bergegas menyelamatkan adik bongsunya yang berusia tujuh bulan di tingkat bawah.

"Mereka berlari keluar rumah menuju ke rumah kakak ipar yang terletak selang satu rumah dengan kediaman kami," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketika kejadian dia dan isteri serta anak perempuan berusia 11 tahun berada di gerai menjual burger yang diusahakannya kira-kira tiga kilometer dari rumah.

"Saya bergegas pulang selepas menerima panggilan telefon daripada kakak iparnya dan bersyukur mendapati semua anak selamat," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Aini Jahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.59 malam.

"Dua jentera FRT, satu jentera EMRS dan satu Unit RIM dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota dihantar ke tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan bilik tingkat dua sebuah rumah jenis jenis kekal. Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

"Operasi ditamatkan pada jam 9.06 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 4:21 PM