GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 39 kematian membabitkan warganya dan ahli keluarga akibat Covid-19 sejak 18 Mac tahun lalu sehinga semalam.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass berkata, bagi tempoh sama juga, 6,007 warga PDRM dan ahli keluarga juga didapati positif Covid-19.

"Daripada jumlah itu 833 adalah Pegawai Kanan Polis, 2,935 Pegawai Rendah Polis, 294 Pegawai Awam dan 1,945 adalah ahli keluarga.

"Sehingga kini seramai 495 warga PDRM dan ahli keluarga mereka masih didapati positif Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zaini berkata, bagi kes kematian, 39 kematian direkodkan membabitkan seorang Pegawai Kanan Polis, 10 Pegawai Rendah Polis, seorang Pegawai Am dan 27 ahli keluarga.

"Sejak bermulanya penularan Covid-19 di dalam negara, semua warga PDRM dimestikan untuk mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) norma baharu pada setiap masa ketika melaksanakan tugas harian seperti Sekatan Jalan Raya (SJR), tangkapan, serbuan dan tugas Kaunter Enkuiri Polis.

"Kerajaan juga memberikan keutamaan kepada setiap warga PDRM untuk diberikan suntikan vaksin apabila Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan," katanya.

Menurutnya, Jabatan Pengurusan juga mengeluarkan beberapa garis panduan untuk memastikan tahap pematuhan kepada SOP Pencegahan Covid-19 dipertingkatkan bagi melindungi warga PDRM daripada jangkitan Covid-19 dan pada masa yang sama untuk memutuskan rangkaian penularan di kalangan orang tahanan di dalam lokap-lokap polis.

"Antara SOP dan garis panduan yang dikeluarkan ialah warga PDRM perlu memakai pelitup muka semasa menjalankan tugas, membuat saringan suhu dan menyediakan kod QR yang didaftarkan dengan MySejahtera di setiap lokasi di dalam bangunan polis bagi memudahkan pengesanan kontak rapat.

"Selain itu, membuat hebahan berbentuk peringatan kepada semua warga melalui siar raya PDRM berkaitan norma baharu sekurang-kurangnya seminggu sekali, mengelakkan bersalaman dan bersentuhan dengan apa cara sekali pun dan menjaga penjarakan fizikal pada setiap masa.

"Warga PDRM juga perlu kerap mencuci tangan atau 'hand sanitizing', mengamalkan 3S, elakkan berada di tempat yang tertutup yang sempit, tempat yang sesak dan jangan sembang dekat-dekat dan mendapatkan rawatan daripada klinik atau hospital dengan segera jika dikesan mengalami gejala jangkitan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dan diarahkan untuk menjalani ujian calitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:00 PM