Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-64 pada 31 Ogos ini, kerajaan yakin 40 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia menerima suntikan imunisasi lengkap.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini 20 peratus daripada penduduk sudah menerima dos kedua.

Katanya, ini bermakna negara sudah mendapat sasaran 20 peratus daripada populasi penduduk menerima vaksinasi lengkap untuk tempoh hingga akhir Julai.

"Saya yakin kita akan mendapat sasaran 40 peratus populasi negara mendapat vaksinasi lengkap menjelang 31 Ogos ini. Itu sasaran kita seterusnya Insha-Allah," katanya dalam sidang media selepas meninjau operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Palace Golden Horses di Serdang, hari ini.

Setakat semalam secara kumulatif seramai 20,009,988 atau 41.3 peratus penduduk dewasa sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos vaksin.

Sementara itu katanya, perolehan bekalan sulung vaksin jenis satu dos CanSino dijadualkan sampai pada minggu pertama Ogos.

"Selain itu, kita akan terima sumbangan vaksin AstraZeneca dari United Kingdom (UK), justeru kerajaan sedang berbincang dengan Pejabat Pesuruhjaya UK di Kuala Lumpur, mengenai penghantaran 400,000 dos AstraZeneca," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 2:22 PM