Dr Zaini ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas JKKN di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Zaini ketika sidang media selepas Mesyuarat Khas JKKN di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kerajaan negeri membuat permohonan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk penambahan bekalan vaksin di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, permohonan dibuat Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob hari ini.

Katanya, dengan kemudahan dan persiapan prasarana yang ada di pusat pemberian vaksin (PPV), ia membolehkan sebanyak 33,000 dos suntikan vaksin dapat dilakukan sehari dan mampu menyuntik sehingga satu juta dos sebulan.

"Apabila permohonan penambahan bekalan vaksin daripada Mosti diluluskan, kita yakin dari segi kemampuan serta persiapan di PPV selain Program Outreach Vaksinasi yang diadakan bagi mencapai tahap imuniti kelompok.

"Dengan trend peningkatan kes harian Covid-19 di Kelantan, kita bimbang fasiliti dan hospital akan berada dalam keadaan tenat dan satu cara untuk mengatasinya adalah dengan adanya bekalan vaksin yang mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas JKKN yang dipengerusikan oleh Ahmad di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, memang tidak dapat dinafikan penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini menyebabkan ramai rakyat dalam keadaan tertekan.

"Kita bersetuju apabila kerajaan memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak sektor-sektor ekonomi seperti restoran untuk beroperasi.

"Bagaimanapun, selagi mana vaksinasi tidak mencapai 40 peratus daripada komuniti ia agak bahaya dan Kelantan sudah bersedia untuk menyiapkan prasarana bagi suntikan namun mempunyai kekangan dari segi bekalan vaksin yang tidak cukup," katanya.

Dr Izani berkata, sebelum ini Kelantan pernah mencapai sehingga 1,000 kes harian Covid-19 dan hari ini mencatat lebih 600 kes menyebabkan dua Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang ditutup terpaksa dibuka semula.

"Bagi membendung keadaan semasa penularan pandemik Covid-19 proses vaksinasi harus dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sehingga kini terdapat 11 PKRC beroperasi dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku pertambahan untuk jangka masa terdekat.

"Penggunaan katil di PKRC dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital sudah mencapai 60 hingga 70 peratus," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 2:13 PM