DAGING lembu sejuk beku berkenaan. FOTO Ihsan Maqis
DAGING lembu sejuk beku berkenaan. FOTO Ihsan Maqis
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa 24 tan daging lembu sejuk beku dari Australia di Pelabuhan Klang Barat, Isnin lalu.

Maqis Selangor dalam kenyataan berkata, kontena yang membawa daging lembu sejuk beku seberat 24,987.96 kilogram itu ditahan dalam pemeriksaan rutin oleh penguat kuasa Maqis, jam 5 petang.

"Siasatan mendapati sebuah kontena yang membawa daging lembu sejuk beku yang bernilai RM296,998.91 dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan.

"Daging lembu sejuk beku itu dirampas untuk tindakan lanjut kerana gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.

"Siasatan juga mendapati, daging lembu sejuk beku itu untuk kegunaan sendiri dan dijual di pasaran tempatan dan berada di pelabuhan sejak 17 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maqis berkata, perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa Permit Import akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), Akta sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Maqis sentiasa mengambil serius dalam isu membabitkan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan dagangan yang boleh mengancam keselamatan makanan dan status halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 8:36 AM