FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 29 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Bryan Lai Wai Chong ditahan kerana didakwa memasuki Hutan Simpan Ulu Jelai (HSUJ), Lipis tanpa permit, hari ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kumpulan individu dari Selangor dan Kuala Lumpur itu ditahan pihaknya dan polis di Kampung Rakoh, Pos Lenjang, Sungai Koyan, Lipis pada jam 8 pagi.

"Turut ditahan bersama kumpulan ini adalah Adun Teratai yang beralamat di Bandar Mahkota Cheras, Selangor, manakala sebanyak 11 kenderaan pacuan empat roda disita.

"Siasatan awal mendapati, kumpulan ini sudah memasuki HSUJ sekitar jam 11 pagi semalam tanpa kebenaran dan dimaklumkan untuk memberi bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Pos Lenjang, Lipis," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek itu dibawa ke Balai Polis Sungai Koyan untuk saringan kesihatan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 47 dan 88 Akta Perhutanan Negara 1984, masing-masing berkaitan keperluan permit memasuki hutan simpan dan kuasa menangkap, menyita serta menyiasat oleh pegawai perhutanan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 4:54 PM