Noorazura Abdul Rahman

Kuala Muda: Lebih 1,000 nelayan pantai di Tanjung Dawai, di sini, terjejas apabila hasil laut sering dibeli dengan harga murah selain tidak dapat turun ke laut akibat faktor cuaca.

Nelayan, Talib Muhammad Saad, 59, berkata, setiap kali turun ke laut, dia terpaksa menampung kos petrol sehingga RM500 untuk mencari ikan hingga ke Tanjung Piandang, Perak.

"Jika kami berjaya daratkan 250 kilogram (kg) ikan dan kos petrol hampir RM500, sampai di jeti, peraih pula beli ikan dengan harga RM2.50 sekilogram, saya cuma akan dapat RM625, selepas ditolak kos petrol, saya perlu bayar gaji awak-awak sekurang-kurangnya RM50 seorang.

"Saya tak dapat apa-apa keuntungan, balik modal pun tidak, saya perlu bayar pinjaman bank lagi untuk membeli bot sebelum ini, sebagai nelayan pendapatan kami pun terumbang ambing seperti di lautan.

"Ditambah dengan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, apabila banyak pasar tutup kerana ada kes positif, harga ikan akan lebih murah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menyebabkan peniaga kekurangan pelanggan dan sukar untuk memasarkan ikan," katanya yang sudah 40 tahun menjadi nelayan.

ANTARA nelayan pantai yang baru tiba di jeti untuk menjual hasil ikan yang didaratkan kepada peraih di jeti Tanjung Dawai. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ANTARA nelayan pantai yang baru tiba di jeti untuk menjual hasil ikan yang didaratkan kepada peraih di jeti Tanjung Dawai. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Rakannya, Islam Jaafar, 55, berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu juga menyebabkan pendapatan mereka sebagai awak-awak terjejas.

"Sejak akhir-akhir ini hanya beberapa hari saja kami dapat turun ke laut akibat ribut, minggu ini baru sehari kami dapat bekerja, pendapatan pula tidak menentu bergantung kepada jumlah tangkapan ikan. Ahad lalu kami hanya berjaya tangkap 16 kg ikan.

"Kami terpaksa pulang awal apabila ribut di tengah laut, peraih pula beli dengan harga RM9 sekilogram, dijangka kami hanya dapat turun ke laut esok. Memang kehidupan nelayan sangat susah sekarang," katanya.

Bagi Adam Hussin, 37, kerja sebagai nelayan hanya cukup-cukup makan dan ada kalanya perlu meminjam duit untuk kelangsungan hidup bagi menyara keluarga.

Katanya, dia terpaksa turun ke laut tanpa subsidi petrol berikutan permohonannya mendapatkan lesen belum diluluskan sejak 10 tahun lalu.

"Saya ada tiga anak berusia antara empat hingga sembilan tahun, sebagai anak jati Tanjung Dawai, inilah kerja yang kami boleh lakukan, selagi tiada lesen, keuntungan mendaratkan ikan tidaklah seberapa selain kami tidak layak menerima bantuan daripada kerajaan.

"Ada nelayan yang sudah berusia masih memegang lesen sedangkan mereka tidak lagi turun ke laut, harap kerajaan dapat lihat kembali perkara seperti ini dan memberi peluang kepada orang muda yang menjadikan kerja ini sebagai sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 1:20 PM