Rosman Shamsudin

Slim River: "Ini hari paling menggembirakan saya kerana dapat melihat dunia luar selepas 30 tahun tinggal dalam hutan," kata Rashid Mat Sah.

Rashid, 66, tinggal berseorangan di pondok usang di sebuah dusun durian di Kampung Batu 4 dekat sini.

Dia tinggal di pondok berkenaan sejak merantau dari Kota Tinggi, Johor untuk mencari kerja.

Rashid ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz, Pegawai Khas Pejabat Adun, Mohd Nazri Mohd Hashim bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengurus dokumen pengenalan diri.

Rashid juga dibawa ke klinik untuk pemeriksaan penyakit kulit dialami selain pemeriksaan kesihatan.

"Ketiadaan dokumen pengenalan diri antara sebab utama saya takut untuk keluar dari hutan.

"Saya memang mahu menjalani kehidupan normal namun tiada keyakinan diri," katanya.

Rashid bersyukur ada pihak sudi membantunya menguruskan dokumen pengenalan diri.

"Jika tidak, selamanya saya hidup tanpa kad pengenalan, mungkin tinggal di hutan selamanya," katanya.

Menurut Rashid, mungkin kehidupannya yang tidak terurus menyebabkan dia dijangkiti penyakit kulit.

Katanya, selama ini, dia merawat penyakit kulit dengan hanya menggunakan tumbuhan hutan.

"Saya bersyukur kerana turut dibawa ke klinik," katanya.

RASHID Mat Sah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
RASHID Mat Sah. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

Menceritakan kisah hidupnya, Rashid berkata, hanya Tuhan yang tahu kesusahan dan keperitannya berseorangan mendiami pondok usang itu.

Rashid merantau ke daerah ini untuk mencari kerja selepas ibu bapanya berpisah.

"Apabila tiba di kawasan ini, saya mengikut seorang lelaki untuk berkerja di dusun durian.

"Saya mendapat upah dengan menjaga dan membersihkan dusun dipajaknya," katanya.

Menurut Rashid, pada waktu malam, dia akan menyalakan pelita manakala air hujan pula digunakan untuk mandi dan memasak.

Rashid berkata, dia turut bersyukur kerana ada seorang guru yang sering membantunya membeli barangan keperluan asas.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, beliau bersyukur urusan berkaitan kad pengenalan Rashid selesai.

"Pemeriksaan kesihatan turut mendapati yang Rashid sihat dan doktor membekalkan ubat merawat penyakit kulit.

"Kami akan terus memantau kehidupan Rashid selain membekalkan barangan makanan secukupnya," katanya.

Berita berkaitan:

  • Warga emas sebatang kara tinggal di hutan selama 30 tahun [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:26 PM