Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: "Bila sampai rumah yang terbakar, saya tidak dibenarkan masuk dan lebih menyedihkan, kakak ditemui rentung," kata Fazrul Hisyam Azmi.

Kakak Fazrul Hisyam, 30, iaitu Atmiza, 50, ditemui rentung dalam bilik air dalam kebakaran membabitkan rumah mereka di Kampung Bohor, Hutan Kampung di sini, hari ini.

Pada kejadian jam 10.30 pagi, Atmiza berseorangan di rumah dan gagal menyelamatkan diri. Ketika itu, bapanya, Azmi Zain, 71, dan Fazrul Hisyam tiada di rumah.

Menurut Fazrul Hisyam, dia terkejut apabila dimaklumkan rumahnya terbakar malah melihat asap kebakaran daripada jauh.

"Saya cukup sedih apabila kakak ditemui rentung. Kakak sudah lama menghidap menghidap barah otak dan bergantung kepada ubat-ubatan dibekalkan hospital," katanya.

Menurut Fazrul Hisyam, pagi tadi, dia sempat membelikan sarapan untuk kakaknya sebelum keluar bekerja sebelum dimaklumkan rumahnya terbakar.

Katanya, kali terakhir dia berbual dengan kakaknya ialah pada malam tadi dan arwah sempat memberikannya telefon bimbit sumbangan kerajaan menerusi jaringan Yes.

ANGGOTA bomba melakukan kerja pemadaman di sebuah rumah di Kampung Bohor, Hutan Kampung yang terbakar menyebabkan seorang wanita ditemui rentung.FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba melakukan kerja pemadaman di sebuah rumah di Kampung Bohor, Hutan Kampung yang terbakar menyebabkan seorang wanita ditemui rentung.FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kakak beri pada saya, dia kata dia tidak mahu telefon itu, saya pun mengambilnya. Tidak sangka, itu kali terakhir kami bersembang sebelum dia pergi selamanya.

"Arwah kakak masih bujang dan dia juga sudah lama sakit. Kami bertiga tinggal di rumah ini manakala dua beradik yang lain masing-masing menetap di Langkawi serta Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.32 pagi dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi jam 10.41 pagi.

Operasi diketuai Ahmad Naufal Abdullah bersama 19 anggota BBP Alor Setar dan enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Setibanya di lokasi, api sedang marak sebelum pemeriksaan menemui seorang mangsa yang juga wanita dalam keadaan rentung dalam bilik air rumah berkenaan.

"Turut musnah sebuah Proton Wira dan tiga motosikal. Jasad mangsa diserahkan kepada polis untuk proses selanjutnya," katanya ditemui di lokasi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 2:55 PM