Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan membuka kaunter bantuan pandu lalu di Kelantan bagi memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kaunter bantuan berkenaan di bawah pelaksanaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi tabung Musaadah Covid-19.

Katanya, kaunter yang terletak di Pusat Khidmat DUN Pengkalan Chepa itu mula beroperasi hari ini dan akan dibuka setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

"Hari ini kita mengagihkan bantuan kepada 88 pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan golongan lain yang memerlukan membabitkan kos RM5,000.

"Kaunter ini akan dibuka setiap hari dan mereka yang memerlukan bantuan dalam bentuk makanan, boleh tampil ke pusat khidmat berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

"Ini salah satu inisiatif kita bagi menyantuni semua kelompok yang terjejas susulan pelaksanaan PKP," katanya ketika menyampaikan Sumbangan Musaadah Covid-19 Membabitkan Pemandu Teksi LTSIP, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya tidak menetapkan jumlah peruntukan sebaliknya ia akan diagihkan sepanjang PKP.

"Kita mempunyai stok makanan yang mencukupi dan berharap mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 boleh datang mengambil bakul bantuan makanan yang disediakan," katanya.

AHMAD Marzuk menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada pemandu teksi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19 kepada pemandu teksi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 1:42 PM