ANTARA ubat-ubatan haram yang dirampas.
ANTARA ubat-ubatan haram yang dirampas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Shah Alam: Jangan percaya ubat seludup dari China didakwa berupaya merawat jangkitan Covid-19 secara kendiri tanpa perlu pesakit merujuknya kepada doktor dan hospital.

Kegiatan penjualan ubat itu dibongkar Cawangan Penguatkuasa, Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) yang menjalankan serbuan terhadap sebuah premis di Petaling Jaya Khamis lalu, susulan maklumat penjualan produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam serbuan itu, sebanyak 101 kotak produk ubat berkenaan dianggarkan bernilai RM2,500 berjaya dirampas.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, ia adalah rampasan kali kedua terhadap produk tidak berdaftar sama oleh JKNS selepas serbuan sama dilakukan Oktober tahun lalu.

"Produk tidak berdaftar dengan KKM ini didakwa kononnya boleh menyembuhkan penyakit Covid-19 secara kendiri. Ini secara tidak langsung dikhuatiri boleh mendatangkan kesan sampingan buruk ke atas kesihatan jika penggunaannya dilakukan berterusan tanpa pemeriksaan serta rawatan kesihatan oleh pengamal perubatan berdaftar.

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Jualan Dadah 1952 yang boleh membawa hukuman denda RM25,000 atau 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali terhadap pemilik premis," katanya.

Beliau berkata, JKNS menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual di dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan itu mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan.

"Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400

"Orang ramai disaran mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam," katanya.

Menurutnya, aduan dan maklumat itu boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan.

Pada Oktober lalu, sebanyak 1,200 kotak produk tradisional Lianhua Qingwen Jiaonang yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM selain didakwa berkesan merawat Covid-19, dirampas.

Rampasan dilakukan susulan pemeriksaan terhadap sebuah kereta berhampiran Plaza Tol PLUS Bukit Raja, Klang hasil kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR).

Siasatan awal mendapati produk itu dipercayai di bawa masuk secara haram dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 4:22 PM