MAZLI (dua dari kiri) memeriksa sebuah kilang plastik di Penampang. FOTO Juwan Riduan
MAZLI (dua dari kiri) memeriksa sebuah kilang plastik di Penampang. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Penampang: Tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sektor perkilangan di daerah ini dan Putatan sepanjang Op Patuh dilaksanakan, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, polis bersama beberapa agensi kerajaan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dilandaikan.

Malah katanya, dalam operasi hari ini yang membabitkan kilang besi, kilang plastik dan pusat ternakan ayam didapati beroperasi menuruti SOP ditetapkan.

"Setakat ini, kita mendapati premis perkilangan di daerah ini mematuhi SOP dan tiada kompaun dikeluarkan sepanjang operasi ini dilakukan.

"Kita juga tidak menerima sebarang aduan membabitkan kesalahan SOP di kilang-kilang sekitar daerah ini," katanya selepas menjalankan pemeriksaan kilang di sekitar Penampang dan Putatan di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Operasi itu turut membabitkan seramai 54 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Keselamatan Dalam Negeri dan Majlis Daerah Penampang (MDP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 6:27 PM