Bangunan Persada PLUS. FOTO Arkib NSTP.
Bangunan Persada PLUS. FOTO Arkib NSTP.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Plus Malaysia Berhad (PLUS) menunjukkan komitmennya dan berkongsi pencapaian dalam bidang kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus melalui pelancaran Laporan Kelestarian, baru-baru ini.

Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail berkata, pelancaran dilakukan secara maya, dan disertai oleh 1,700 kakitangan itu juga berperanan menyokong kerajaan merealisasikan visi 'Smart Highway of the Future'.

Antara lain, katanya, ia sebagai tanggungjawab pihaknya terhadap alam sekitar dan masyarakat.

"Kami melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan selesa.

"Di samping menjaga alam sekitar, kami bertanggungjawab secara sosial serta melaksanakan tadbir urus yang baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, laporan itu menggariskan langkah yang diambil untuk meminimumkan impak perubahan iklim bagi melindungi keselamatan pelanggan lebuh raya.

Menurutnya, laporan itu berkongsi aspirasi dalam mempercepatkan usaha kelestarian alam sekitar termasuk pengurusan air dan sisa, berpandukan kepada Pelan Hala Tuju Hijau PLUS selain turut memperincikan usaha, inovasi serta pencapaian.

"Pada tahun lalu, sebanyak 170 proses kerja didigitalkan dan menghasilkan penjimatan sebanyak 1,300 jam dalam waktu kitaran pemproses di samping merekod penjimatan sebanyak 3 juta helaian penggunaan kertas.

"PLUS juga komited dalam membudayakan pembelajaran berterusan demi meningkatkan keupayaan tenaga kerja melalui kejayaan melengkapkan 27,000 jam latihan secara maya kepada hampir 2,300 kakitangan," katanya.

Beliau turut berkongsi pencapaian PLUS antaranya Anugerah Tenaga Kebangsaan 2020 bagi kategori Pengurusan Tenaga Bangunan Besar dan Naib Juara Anugerah Tenaga Asean (AEA) peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Melalui inovasi pendigitalan, katanya, PLUS merekodkan penjimatan sehingga 25 peratus dalam penggunaan tenaga dan mencapai pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang ketara.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Tadbir dan Risiko PLUS, Satpal Singh berkata, pihaknya sentiasa memastikan lebuh raya menjadi perkhidmatan asas penting kepada setiap syarikat logistik ketika mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, PLUS turut menyokong petugas barisan hadapan dan komuniti tempatan melalui bantuan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sudah memberi manfaat kepada lebih 10,000 individu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 10:17 PM