TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan. FOTO Nuraliawati Sabri
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas pertuduhan memalsukan dokumen darjah kebesaran negeri Melaka.

Tertuduh, Mohamed Fariq Abdul Rahman, 46, dan Abdullah Samsu @ Hanafi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memalsukan dokumen iaitu satu surat bertajuk pengesahan mengenai status surat penerimaan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka.

Ia sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 71 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam bertarikh 24 Mac 2021 dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dengan niat supaya dokumen palsu terbabit digunakan dengan tujuan hendak menipu.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat SUK Negeri Melaka pada jam kira- kira 12 tengah hari pada 31 Mac 2021.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jumlah jaminan RM6, 000 diberikan kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh dan Mohd Norazihan Adnan merayu agar jumlah jaminan dikurangkan memandangkan anak guam mereka ada tanggungan selain pendapatan mereka terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 setiap seorang selain menetapkan 25 Ogos depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:40 PM