GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kajang: Mayat lelaki ditemui tergantung di jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima panggilan daripada orang awam jam 7.47 pagi memaklumkan terlihat lelaki tergantung di jejantas itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 56 tahun ditemui dalam keadaan tergantung di jejantas itu.

"Maklumat awal daripada waris mendapati mangsa disyaki dijangkiti Covid-19 dan dia mengatakan tidak tahan dengan sakit dialaminya seperti batuk, demam dan sesak nafas.

"Mayat diturunkan dengan bantuan bomba dan seterusnya dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, seorang pegawai dan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kerja-kerja menurunkan mayat kemudian dijalankan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 12:54 PM