SALAH seorang individu yang hadir menerima suntikan vaksin semasa hari pertama pembukaan PPV di Hospital Pakar KPJ Ipoh hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
SALAH seorang individu yang hadir menerima suntikan vaksin semasa hari pertama pembukaan PPV di Hospital Pakar KPJ Ipoh hari ini. FOTO Balqis Jazimah Zahari
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Penerima suntikan vaksin yang diadakan di pusat pemberian vaksin (PPV) hospital swasta di sini, hari ini lega selepas dapat berbuat demikian.

Mereka menyifatkan proses yang dilakukan berjalan lancar dan menyeru agar orang ramai yang mendapatkan janji temu untuk berbuat demikian agar tidak melepaskan peluang itu.

Seorang penerima warga emas, Salasiah Jabar, 68, dari Tanjung Rambutan di sini, berkata, dia sangat teruja selepas menerima panggilan janji temu vaksinasi selepas sekian lama menunggu.

"Saya memang seronok bila anak beritahu dapat janji temu dan memang tak sabar nak datang untuk cucuk vaksin hari ini.

"Prosesnya memang cepat dan sangat selesa," katanya selepas menerima suntikan itu di KPJ Ipoh di sini, sambil memaklumkan suaminya turut menerima suntikan pada sebelah pagi di hospital yang sama.

Seorang lagi penerima vaksin, Arsad Mohd Baki, 68, juga mengakui perkhidmatan PPV di hospital swasta itu memberi kemudahan kepada mereka berstatus warga emas.

"Saya berasa bangga dan bersyukur, saya pernah menghidapi strok, darah tinggi dan sakit saraf tetapi setakat ini tidak mengalami sebarang kesan sampingan.

"Saya menggalakkan semua orang menerima suntikan vaksin," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh, Yusmah Salleh berkata, PPV yang dibuka di hospital swasta tidak bermotifkan keuntungan sebaliknya memainkan peranan penting untuk meringankan beban yang digalas hospital kerajaan dalam memastikan sasaran imuniti kelompok tercapai.

Menurutnya, dengan adanya tambahan PPV di klinik dan hospital swasta akan mampu mempercepatkan vaksinasi Covid-19 kepada rakyat negara ini.

"Kita di hospital swasta tidak memikirkan soal keuntungan pada tahap ini, ia lebih kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu kerajaan memberikan suntikan demi mengembalikan kehidupan rakyat macam biasa.

"Sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban kakitangan hospital kerajaan dan mereka sudah terlalu penat, seperti PPV di Stadium Indera Mulia dalam sehari 1,500 (suntikan) ditambah dengan pandu lalu, jadi kita berkongsi beban," katanya ketika sidang media selepas pembukaan hari pertama PPV di hospital berkenaan.

Yusmah berkata, pihaknya pada ketika ini turut menjalankan kerjasama dengan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi membantu dari segi memberi perkhidmatan kepada pesakit yang bukan Covid-19.

"Kita juga bekerjasama rapat dengan HRPB untuk membantu pesakit yang berada dalam senarai menunggu.

"Jadi kita juga turut membantu mereka untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit yang berada dalam senarai menunggu untuk pesakit bukan Covid-19 terutama pesakit kritikal yang tidak boleh menunggu lama seperti kimoterapi, jantung dan pengesanan kanser di peringkat awal," katanya.

Beliau berkata, seramai 200 penerima menerima suntikan vaksin pada hari pertama pembukaan PPV di hospital berkenaan hari ini.

"Kita memang ada mendapat permintaan untuk memberi suntikan lebih banyak, namun setakat ini kita meletakkan seramai 200 penerima sehari melalui senarai nama yang diterima melalui janji temu melalui MySejahtera.

"Kita mempunyai 30 petugas dan tiga vaksinator untuk mengendalikan urusan pemberian vaksin di PPV yang akan beroperasi bermula Isnin hingga Jumaat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 5:57 PM