Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerima 80,000 permohonan daripada individu yang ingin menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) sejak ia dibuka pada Mac lalu.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia menunjukkan perkembangan positif dalam usaha membantu memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang berada di pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah permohonan itu, seramai 4,500 sukarelawan MyVac sudah ditempatkan di 332 PPV, dan jumlah itu akan meningkat dari semasa ke semasa selaras dengan pembukaan lebih banyak PPV pada masa depan.

"Sukarelawan MyVac ini adalah gerakan sukarelawan yang diletakkan di bawah KBS, dan melalui tinjauan yang dilakukan saya amat berpuas hati dengan tugas mereka.

"Lebih ramai sukarelawan MyVac akan diperlukan kerana lebih banyak PPV mega dan di kawasan luar bandar, pedalaman termasuk tempat orang asli akan dibuka," katanya selepas mengadakan tinjauan di PPV Dewan Millenium, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sukarelawan MyVac berupaya membantu kerajaan dalam memastikan kelancaran proses vaksinasi.

"Mereka boleh membantu mengambil alih tugas seperti di meja pendaftaran yang sebelum ini dilakukan petugas perubatan dan membantu orang awam yang mendapatkan suntikan.

"Jadi petugas perubatan boleh menumpukan kepada tugas mereka memberikan vaksin dan tugas lain berkaitan perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 9:33 PM