Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seorang cucu terpaksa membawa neneknya untuk kali kedua bagi mendapatkan suntikan vaksin, hari ini, selepas warga emas terbabit secara tiba-tiba menolak untuk menerimanya sebaik sampai ke meja pendaftaran pada temu janji pertama, 26 April lalu.

Saiful Haslim Baharudin, 21, berkata, dia bersyukur kerana neneknya, Zainab Ibrahim, 78, mula berfikiran positif dan lebih yakin untuk hadir ke Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid Sultan Ismail Petra, Kampung Banggol, di sini, untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, neneknya menolak pada peringkat awal susulan risau kesan vaksin pada dirinya berkemungkinan selepas mendengar beberapa informasi yang disampaikan secara tidak tepat, namun dia mengubah fikiran selepas dinasihati anak dan cucu.

"Hari ini di awal pagi, dia bersemangat mahu mengambil suntikan apabila mula menyedari kepentingannya terutama bagi golongan warga emas agar tidak mudah dijangkiti wabak Covid-19.

"Tambahan pula, nenek menghidap kencing manis dan darah tinggi, jadi sudah tentu kami sekeluarga risau jika dia masih enggan menerima suntikan.

ZAINAB dibantu anaknya untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAINAB dibantu anaknya untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Bagaimanapun kami bangga dan bersyukur dia sudah mula yakin dan mengubah perspektif tentang vaksinasi ke arah yang positif.

"Sebaik suntikan diberikan, dia hanya tersenyum dan saya berharap nenek kuat tanpa ada sebarang kesan yang memudaratkan," katanya yang berasal dari Kampung Penambang, di sini.

Warga emas, Rahmah Omar, 67, yang ditemui di lokasi sama berkata, dia teruja kerana waktu yang ditunggunya bagi mendapatkan vaksin akhirnya tiba memandangkan risau dengan jumlah jangkitan yang semakin banyak.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya yang berkerusi roda akibat sakit lutut mendapat layanan baik dan tidak perlu menunggu lama untuk menerima suntikan berkenaan.

"Saya risau selama ini kerana masih tidak dipanggil untuk menerima suntikan, namun hari ini berasa sedikit lega kerana sudah mengambilnya berikutan bimbang selepas mendengar penduduk di sekitar kampung ada yang dijangkiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 4:11 PM