Notis perintah tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini, selepas terdapat kes positif COVID-19 membabitkan peniaga pasar terbabit. FOTO DANIAL SAAD
Notis perintah tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Pasar Awam Bukit Mertajam di sini, selepas terdapat kes positif COVID-19 membabitkan peniaga pasar terbabit. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Tempoh penutupan Pasar Awam Bukit Mertajam di sini, selepas terdapat tiga peniaga di situ positif Covid-19 ditambah sehari lagi.

Sebelum ini arahan dikeluarkan untuk pasar itu ditutup 9 hari bermula Isnin lalu (31 Mei) hingga Rabu depan (9 Jun), oleh itu kini ia ditutup hingga 10 Jun.

Tambahan satu hari penutupan itu dibuat memandangkan masih terdapat kes positif Covid-19 direkodkan hingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengisyhtiharkan lokasi pasar awam dekat sini sebagai satu kluster baharu yang dinamakan sebagai Kluster Jalan Pasar.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata sehingga kini seramai 113 individu sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu 10 disahkan positif, 17 negatif manakala selebihnya menunggu keputusan.

"Memandangkan masih terdapat kes positif yang dikesan dalam kalangan peniaga di sini maka pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Tengah mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh penutupan sehari lagi.

"Peniaga dan individu terbabit diansihatkan supaya memberi kerjasama sepenuhnya bagi mengelakkan tindakan perundangan selanjutnya diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) jika mereka enggan berbuat demikian.

"Mana- mana peniaga yang masih lagi tidak menjalani ujian calitan selepas 9 Jun dan tiada pengesahan mengatakan mereka negatif Covid-19 tidak akan dibenarkan untuk membuka semula operasi perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rozali menggesa peniaga atau individu yang mempunyai kontak rapat dengan peniaga pasar awam itu supaya segera menjalani ujian calitan Covid-19 atau menghubungi Bilik Gerakan PKD Seberang Perai Tengah di talian 04-5397884 untuk mendapatkan temu janji berkaitan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 4:40 PM