FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

Teluk Intan: Seorang pembekal sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dan sengaja menyebabkan cedera serta cedera parah ke atas dua lelaki lain di Taman Desa Maju Perak, Langkap, di sini bulan lalu.

R. Chandran, 34, mengangguk tanda memahami pertuduhan bunuh yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norita Mohd Ardan, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya kerana kes bunuh merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna ungu didakwa membunuh R. S. Ragu, 29, di hadapan kedai kosong di Hala Kristal 1, Taman Desa Maju Perak, antara 6 petang dan 6.50 petang, 13 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan sengaja menyebabkan cedera dan cedera parah, Chandran didakwa melakukan kesalahan itu ke atas Kiran, 19, dan S.Saravanan, 26, dengan menggunakan senjata iaitu sebilah parang di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut serta Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Charan Singh.

Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:17 PM