KELIHATAN keadaan jalan raya lengang tanpa kenderaan pada Perintah Kawalan Pergerakan Penuh  ketika tinjauan di Lebuhraya BESRAYA, Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad
KELIHATAN keadaan jalan raya lengang tanpa kenderaan pada Perintah Kawalan Pergerakan Penuh ketika tinjauan di Lebuhraya BESRAYA, Sungai Besi. FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing di negara ini, jalan terbaik adalah rakyat bertindak bijak mendisiplinkan diri melalui sekatan pergerakan 'lockdown' kendiri serta mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, Dr Rosnida Mohd Noh berkata, tindakan itu adalah antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebarangkalian dijangkiti Covid-19.

"Setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan penurunan kes Covid-19, termasuk patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal di samping mengelakkan dari berkumpul terutama di tempat awam.

"Elakkan pergerakan yang tidak perlu. Menghalang jangkitan adalah tanggungjawab kita bersama," tegasnya.

Bagaimanapun, menurut beliau, kadar sekatan pergerakan kendiri bergantung kepada situasi seseorang individu.

"Saya sedar ramai dalam kalangan masyarakat mengalami kekangan kewangan disebabkan oleh Covid-19, dan ada yang sehingga kekurangan keperluan asas kehidupan seperti makanan harian. Ini adalah penghalang kepada sekatan pergerakan sepenuhnya.

"Setiap individu perlu menilai kemampuan sendiri dan kurangkan pergerakan yang tidak perlu, contohnya keluar membeli-belah barangan bukan keperluan," katanya.

Sama ada sekatan pergerakan kendiri adalah langkah terakhir yang bersesuaian untuk dibuat bagi menyedarkan masyarakat dalam mengawal penularan Covid-19 yang semakin mengganas sejak akhir-akhir ini, Dr Rosnida menjelaskan bahawa masyarakat perlu melihat kepada angka kes jangkitan yang bertambah setiap hari.

"Melihatkan pada kadar kematian dan kesan jangka masa panjang yang disebabkan oleh Covid-19, tidak ada sesiapapun yang mahu dijangkiti COVID-19. Hospital pula sudah mula melimpah dengan pesakit dan ada yang sudah mencapai kapasiti maksimum.

"Apabila hospital mencapai kapasiti maksimum, ramai pesakit Covid-19 tidak dapat diberi rawatan sepenuhnya kerana kekurangan petugas kesihatan serta peralatan untuk menyelamatkan nyawa," tambahnya.

Menurut beliau lagi, sebagai seorang doktor yang melihat sendiri kesan Covid-19 pada rakyat Malaysia secara "realtime", sudah sampai masa untuk setiap individu melakukan apa sahaja yang mampu dilakukan untuk mengelakkan jangkitan dan penyebaran Covid-19 termasuk mengurangkan pergerakan yang tidak perlu.

Soal pentingnya rakyat mengamalkan pergerakan kendiri ini turut ditekankan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ruangan Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan menerusi RTM dan Bernama TV pada Ahad, 23 Mei lalu.

Rakyat kata beliau, perlu terus patuh kepada SOP dan secara sukarela berada di rumah, untuk sama-sama membantu kerajaan agar dapat mengatasi krisis pandemik pada tempoh sukar ini.

Mutakhir kes harian baharu COVID-19 menunjukkan lonjakan besar secara konsistennya melebihi enam ribu sehari. Untuk rekod kes harian baharu tertinggi dilaporkan pada Sabtu, 29 Mei 2021 iaitu 9,020 kes dan sebelum itu, sebanyak 8,290 kes pada 28 Mei 2021. Semalam 1 Jun, sebanyak 7,105 kes harian baharu dilaporkan.

Sebagai langkah untuk mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan sebelum itu bertindak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei 2021 dengan beberapa penguatkuasaan, antaranya termasuk tempoh operasi perniagaan yang dihadkan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam selain had masa hanya dua jam sahaja untuk membeli barangan di kompleks beli belah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 4:13 PM