TANGKAP layar video tular yang memaparkan perbualan pemandu dengan anggota polis. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular yang memaparkan perbualan pemandu dengan anggota polis. FOTO Ihsan Pembaca
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis memaklumkan tiada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang melarang orang ramai untuk keluar sebelum jam 8 pagi seperti yang tular di laman sosial hari ini.

Menerusi video berdurasi 29 saat yang tular di Twitter, seorang pemandu kereta ditahan anggota trafik dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Anggerik Eria, Seksyen 31 dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, menerusi video itu, terdapat perbualan antara anggota trafik dan pemandu terbabit yang mana anggota bertanyakan mengenai surat pergerakan serta tujuan pemandu itu keluar.

"Anggota itu juga menerangkan SOP pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagaimanapun tiada sebarang kompaun dikeluarkan kepada pemandu berkenaan.

"Kita ingin menegaskan bahawa tiada SOP yang menyatakan kenderaan tidak boleh berada di atas jalan raya bermula jam 8 malam hingga 8 pagi. Segala kesulitan serta salah faham amat dikesali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Baharudin memaklumkan sebanyak 78 saman atas pelbagai kesalahan lalulintas dikeluarkan dalam operasi bermula jam 7 hingga 9.30 pagi hari ini.

Katanya, hasil operasi itu juga pihaknya mengesan sebuah kenderaan lain yang gagal memastikan jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian mengikut kapasiti kenderaan.

Justeru katanya, satu kompaun PKP sudah dikeluarkan dibawah Peraturan 17 (3) (No 5) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Ketika Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 6:12 PM