SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung video di media sosial berkaitan kematian kontroversi A Ganapathy. FOTO Zulfadhli Zulkiffli
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung video di media sosial berkaitan kematian kontroversi A Ganapathy. FOTO Zulfadhli Zulkiffli
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini, bagi memulakan tindakan undang-undang berhubung pendaftaran Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sebagai sebuah parti politik, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonannya.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu pada prosiding secara dalam talian hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly ketika dihubungi berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas AGC tidak membantah permohonan Muda dan menetapkan 8 Jun ini untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili kesemua pemohon turut mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin masih belum membuat keputusan berhubung rayuan Muda untuk mendaftarkan parti berkenaan.

Pada 26 April lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.

Mereka menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lalu yang menolak pendaftaran Muda sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.

Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.

Pada 4 Februari lalu, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Menteri Dalam Negeri.

Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lalu oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak RoS pada Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:08 PM