KELIHATAN pengunjung membeli belah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur susulan pelaksanaan SOP baharu PKP 3.0 lebih ketat bermula pada esok hari. FOTO Azhar Ramli
KELIHATAN pengunjung membeli belah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur susulan pelaksanaan SOP baharu PKP 3.0 lebih ketat bermula pada esok hari. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Tiada keperluan untuk beli barang dengan banyak kerana kita masih dibenarkan keluar walaupun SOP (prosedur operasi standard) PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) makin ketat," kata Noor Linda Abd Wahid, 53.

Noor Linda yang juga suri rumah berkata, dia keluar ke pasar raya untuk membeli barang keperluan yang sudah kehabisan sahaja.

"Hari ini saya beli barang keperluan yang sudah tiada, itu pun dalam kuantiti sedikit. Ini kerana kita masih lagi dibenarkan keluar rumah untuk membeli barang keperluan dengan mengikut SOP ditetapkan.

"Pemerhatian saya terhadap harga barang juga mendapati tiada barang yang naik harga dengan ketara," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan maksimum dua jam, katanya, perkara itu tidak mendatangkan masalah kepada orang ramai untuk membeli-belah.

"Jika kita sudah tahu apa barang yang mahu dibeli atau menyediakan senarai barang, tempoh masa dua jam itu mencukupi.

"Dalam situasi pandemik ini, kita harus bertimbang rasa dengan memberi peluang kepada orang lain juga untuk membeli barang.

"Ini kerana ada premis yang mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung pasar raya sama, Nur Syafiqah Jamaluddin, 30, berkata dia hanya membeli barang keperluan bagi tempoh beberapa hari sahaja.

"Saya beli barang dalam kuantiti yang sedikit kerana tiada keperluan untuk beli dalam jumlah banyak memandangkan saya masih keluar rumah atas urusan kerja.

"Pada masa sama, saya juga mahu berjimat dengan membeli barang yang perlu sahaja memandangkan pelaksanaan PKP ini menyebabkan gaji saya sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dipotong sebanyak 50 peratus.

"Secara keseluruhannya, saya melihat tidak banyak perubahan pada SOP baharu kali ini memandangkan ia bukanlah pelaksanaan PKP secara total seperti sebelum ini," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa pasar raya di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit, di sini, mendapati jumlah pengunjung juga tidak ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:31 PM