KEADAAN Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Beaufort. FOTO Yun Mikail
KEADAAN Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Beaufort. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Beaufort: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menyatakan tiada sebarang gangguan proses pemindahan mangsa banjir di daerah Beaufort walaupun balai bomba dan penyelamat daerah ini turut dinaiki banjir sejak semalam.

Pegarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail berkata pihaknya sudah memindahkan semua aset ke kawasan lebih selamat bagi memudahkan operasi membantu penduduk terjejas banjir dilaksanakan.

"Kita tengok memang balai bomba di sini turut ditenggelami banjir.

"Ada pegawai kita ketika air mulai memenuhi kawasan balai, mereka keluar pergi membantu memindahkan mangsa namun apabila balik balai pula sudah hampir tenggelam.

"Bagaimanapun, kita sudah memindahkan aset-aset untuk menjalankan operasi ke tempat yang lebih selamat agar dapat menjalankan operasi seperti biasa.

"Ia bukan suatu halangan buat kita kerana memang perkara seumpama ini sudah menjadi kebiasaan dalam penugasan anggota bomba," katanya ketika ditemui selemat mengadakan lawatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, dekat sini, hari ini.

KEADAAN Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Beaufort. FOTO Yun Mikail
KEADAAN Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort Beaufort. FOTO Yun Mikail

Mengulas lanjut mengenai penugasan anggotanya sepanjang bencana banjir, Md Ali menyatakan semua anggota tidak dibenarkan bercuti ketika ini malahan anggota yang sedang bercuti juga bakal diarahkan kembali bertugas bagi membantu operasi.

Menurut beliau, keanggotaan di daerah berkenaan hanya 32 orang namun dibantuan oleh agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Beliau berkata, pihaknya juga memanggil anggota bomba sukarela untuk membantu kita memindahkan mangsa banjir atau menghantar bantuan makanan.

Md Ali turut memaklumkan pelbagai aset dari balai bomba berhampiran juga sudah diarahkan membantu daerah ini serta daerah lain yang terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 4:47 PM