Antara kenderaan yang turut rosak kesan daripada letupan kereta di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Antara kenderaan yang turut rosak kesan daripada letupan kereta di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di Kota Bharu hari ini. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa

Kota Bharu: "Saya terdengar bunyi dentuman dan terfikir ia adalah bom, namun sebaik berlari keluar dari restoran dapat dilihat beberapa kereta 'berselerak' dengan sebuah daripadanya sedang terbakar," kata Mohd Khairul Anwar Mohd Zin, 42.

Dia adalah antara yang terawal melihat kejadian sebuah kereta meletup dan menyebabkan seorang lelaki maut di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, petang hari ini.

Menurutnya, dia berada di dapur restoran miliknya yang hanya berada 40 meter dari lokasi kejadian terus bergegas keluar dan keadaan sedikit kelam-kabut dengan orang ramai berlari menyelamatkan diri.

"Saya terdengar suara meminta tolong daripada mangsa terselamat, malah ada yang gigih berlari menyelamatkan diri dalam keadaan berdarah.

"Kami cuba untuk membantu namun keadaan agak teruk sehinggalah pihak bomba datang dan memberitahu bahawa seorang lelaki maut.

"Lebih mengejutkan apabila mangsa rupa-rupanya tercampak ke dinding restoran saya, mungkin kerana kesan letupan yang kuat itu," katanya ketika ditemui di restoran miliknya.

Mohd Khairul berkata, restorannya turut mengalami kerosakan susulan siling dan cermin pecah, kedai runcit milik adiknya juga menerima kesan yang sama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari mengesahkan kejadian terbabit meragut mangsa lelaki berusia 49 tahun.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Berita berkaitan

Kereta meletup bawa mercun bola

Badan lelaki hancur, kereta meletup

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 8:57 PM