Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Akibat terpijak kepala ketika sedang tidur, seorang penjaga ayam naik angin sebelum menikam seorang lelaki sehingga mati di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas, di sini, malam tadi.

Kejadian pada 11.46 malam itu suspek warga Thailand dikenali sebagai Man Siam, yang melarikan diri selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata sebelum kejadian, mangsa berusia 38 tahun bersama bapa sepupunya pergi ke rumah seorang ahli keluarga mereka di lokasi kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 20-an tinggal di reban ayam di belakang rumah kerana bekerja sebagai penjaga ayam ternakan milik ahli keluarga mereka itu sejak awal tahun ini.

MAN Siam diburu polis untuk membantu siasatan kes bunuh. FOTO ihsan polis
MAN Siam diburu polis untuk membantu siasatan kes bunuh. FOTO ihsan polis

"Apabila tiba di rumah ahli keluarga, mangsa yang mengenali suspek pergi ke reban ayam di belakang rumah untuk mencarinya.

"Tidak lama kemudian, suspek datang ke rumah dan memberitahu dua lelaki terbabit bahawa dia sudah menikam mangsa menggunakan pisau atau golok kecil bersarung," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa dibawa ke Hospital Machang dan disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan Man Siam yang melarikan diri dan meminta kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 11:55 AM