GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Besut: Polis membuka kertas siasatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi Mohd Iskandar Jaafar susulan dakwaan mengadakan majlis rumah terbuka pada hari pertama Aidilfitri, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mohd Iskandar tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut pada 8.15 malam tadi dan siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beberapa foto tular di media sosial sejak Khamis lalu memaparkan beberapa tetamu termasuk kanak-kanak menikmati juadah Aidilfitri di kediaman Mohd Iskandar yang juga Setiausaha Umno Bahagian Setiu.

Sementara itu, Mohd Iskandar ketika dihubungi Bernama berkata beliau hadir memberi keterangan di IPD Besut dan setakat ini tiada sebarang kompaun ditawarkan kepadanya.

"Tiada penganjuran rumah terbuka… namun saya serahkan kepada pihak polis untuk teruskan siasatan dan membuat pertimbangan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:33 PM