PELAJAR Pusat Tahfiz Ribath Tahfiz Darul Musthofa di Telok Mas menyambut Syawal di pusat berkenaan. FOTO Nazri Abu Bakar
PELAJAR Pusat Tahfiz Ribath Tahfiz Darul Musthofa di Telok Mas menyambut Syawal di pusat berkenaan. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: "Saya anggap ustaz dan ustazah di sini tidak ubah seperti ayah dan ibu," ujar Muhammad Adam Asyraf Mohd Afiq, tujuh tahun, yang menuntut di Pusat Tahfiz Ribath Tahfiz Darul Musthofa,Telok Mas, di sini.

Anak bongsu daripada dua beradik itu dijaga datuknya yang sudah uzur sebelum ini selepas ibu dan bapanya berpisah.

Baginya, rakan-rakan di pusat tahfiz itu dianggap seperti adik beradik yang dapat mengisi kekosongan hatinya ketika menyambut Aidilfitri ini.

Menurutnya, dia dihantar datuknya ke pusat tahfiz berkenaan November tahun lalu untuk dia mendalami ilmu agama dan al-Quran.

"Walaupun sudah lama tidak bertemu ayah dan ibu namun kesedihan tidak dirasai kerana ramai rakan-rakannya turut mengalami nasib sama.

"Apa yang penting saya perlu terus belajar dan jika diizinkan Allah SWT dapatlah saya bertemu kedua ibu bapa saya satu hari nanti," katanya sayu.

Dia juga gembira kerana turut diberikan baju raya yang baru, jubah dan selain makanan dan keperluan harian yang mencukupi sepanjang berada di situ.

Sementara itu Mohd Raihan Rahmat, enam tahun hanya menaruh kasih seorang nenek yang uzur di Melaka Tengah sebelum diambil belajar di pusat tahfiz itu pada November 2020.

Sementara itu, Pengasas pusat itu, Muhd Haslam Abdul Salam Al-Hafiz berkata, dua pelajar kecil terbabit melalui situasi yang sukar digambarkan.

Baginya, dia berusaha memberi yang terbaik kepada mereka dalam menjalani kehidupan yang bermakna menerusi pendedahan dalam ilmu agama dan al-Quran.

Pihaknya juga memahami situasi dialami keluarga kanak-kanak itu serta waris yang menyerahkan kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, seramai 25 pelajar di pusat tahfiz berkenaan dengan latar belakang yang berbeza yang diberi pendedahan termasuk berzanji, marhaban, qasidah dan al-Quran untuk memantapkan mereka sebagai komuniti masyarakat yang berjaya dunia dan akhirat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam 04015025104874 atas nama Muhd Haslam Al'hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 4:27 PM