KEADAAN 40 rumah rosak akibat ribut di beberapa kawasan di sini, semalam. FOTO Bernama
KEADAAN 40 rumah rosak akibat ribut di beberapa kawasan di sini, semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Kangar: Sebanyak 40 rumah rosak akibat kejadian ribut di beberapa kawasan di Perlis semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri, Azman Mohd Yusof berkata jumlah terkumpul mangsa ribut yang diperoleh setakat ini membabitkan 40 buah rumah dalam kejadian ribut yang berlaku antara 7.30 hingga 8.00 malam tadi.

"Kejadian tersebut membabitkan beberapa kampung di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sanglang dan Simpang Empat.

"Buat masa ini, tiada laporan membabitkan individu yang cedera dan pusat pemindahan juga tidak dibuka kerana penduduk terjejas masih memilih untuk tinggal di kediaman masing-masing kerana rumah masih boleh diduduki," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kebanyakan rumah rosak di bahagian bumbung dan dinding akibat diterbangkan angin kuat ketika kejadian.

Azman berkata kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan telah mengagihkan bantuan awal berupa kit bencana, bakul makanan, selimut, tikar dan keperluan asas untuk setiap keluarga.

Beliau menasihati mangsa ribut supaya segera membuat laporan polis bagi membolehkan agensi berkaitan menyalurkan bantuan dan pembaikan rumah.

Sementara itu polis menerima 27 laporan kerosakan rumah akibat ribut yang membabitkan 11 kampung di beberapa kawasan di negeri ini, malam tadi.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata ribut selama sejam itu bermula kira-kira 7.30 malam dan laporan berhubung kerosakan rumah kemudian diterima pihaknya sejak malam tadi hingga 10 pagi ini.

Beliau berkata kesemua 11 kampung tersebut membabitkan Kampung Bunga Emas, Kampung Serdang, Kampung Dato' Ahmad Musa, Kampung Sungai Padang, Kampung Bongor Kudung, Kampung Tengah Tok Pulau, Jalan Sungai Baru, Kampung Padang Keria, Kampung Pauh Sanglang, Kampung Permatang Bongor serta Kampung Tok Pulau.

"Jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM130,500 namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Mangsa diminta segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan selanjutnya dilakukan oleh agensi berkaitan," katanya.

Surina turut menasihati kesemua mangsa supaya menjaga keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor berkata tinjauan pihaknya pada malam tadi dan pagi ini mendapati sebanyak 25 peratus daripada 22 rumah yang terjejas memerlukan pembaikan segera menjelang sambutan Aidilfitri.

"Pihak MAIPs bersama kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sudah menghulurkan bantuan awal malam tadi dan kita akan melakukan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi mencari kaedah memberi bantuan dan sumbangan," katanya.

Mohd Nazim berkata tiga kawasan yang terjejas ialah Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji.

"MAIPs mengucap takziah kepada mangsa dan berharap mereka bersabar dengan dugaan ini sebagai ujian di bulan Ramadan yang membuka ruang untuk bermuhasabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:32 PM