Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Seorang maut manakala tiga lagi cedera apabila dua tangki minyak mentah terbakar di sebuah kilang di kawasan industri Telok Panglima Garang, dekat sini, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada jam 5.36 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang; BBP Banting serta BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua tangki minyak mentah yang terbakar 50 peratus di kawasan kilang berkeluasan 10,000 kaki persegi.

"Terdapat empat orang mangsa yang mana salah seorangnya maut manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah warga Indonesia yang terjatuh pada ketinggian 10 meter ketika letupan berlaku.

Katanya, difahamkan mangsa ketika itu sedang melakukan kerja kimpalan di tangki berkenaan.

"Operasi pemadaman selesai pada jam 6.45 petang dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:39 PM