GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Empat bazar Ramadan di Johor diarahkan tutup mulai esok, susulan terdapat pengesanan kontak yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Ayub Jamil, berkata penutupan itu membabitkan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) meliputi daerah Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kota Tinggi.

Katanya, empat yang ditutup merangkumi bazar Ramadan Belatuk, Taman Scientex di Pasir Gudang, Kampung Pasir di Jalan Mata Kuching dan @Mart Kempas di Johor Bahru, selain bazar Ramadan Lok Heng di Kota Tinggi.

"Beberapa bazar Ramadan diarahkan tutup bukan punca daripada bazar itu sendiri, tapi penduduk sekitarnya yang didapati positif Covid-19 kemudiannya melawat ke bazar.

"Apabila melawat bazar terbabit (yang diarahkan tutup), jadi dapat kesan melalui MySejahtera.

"Ini menjadi peringatan kepada semua pengunjung di tempat lain juga supaya peka dengan keadaan ini kerana berapa lama ia tutup bergantung kepada penilaian risiko dibuat oleh Pejabat Kesihatan Negeri," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi pekeliling memaklumkan menerima laporan daripada Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE), Bank Negara yang mengesan ancaman penyebaran jangkitan Covid-19 di kawasan bazar Ramadan di beberapa negeri.

Kenyataan turut memaklumkan ancaman penyebaran itu adalah hasil analisa pengesanan kontak yang dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan menerusi aplikasi MySejahtera.

Operasi bazar Ramadan di lokasi berkaitan diarahkan tutup berkuatkuasa pada 1 Mei bagi membendung dan mengawal jangkitan serta peningkatan kes Covid-19.

li>Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 5:02 PM