Antara warga asing yang dikesan cuba mengelak daripada ditahan JIM di Pasar Borong Jalan Putra, Alor Setar hari ini. Foto Ihsan JIM
Antara warga asing yang dikesan cuba mengelak daripada ditahan JIM di Pasar Borong Jalan Putra, Alor Setar hari ini. Foto Ihsan JIM
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (Pati) diberkas dalam Op Jaja Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di Pasar Borong Jalan Putra di sini, pagi hari ini.

Operasi bermula 1.45 pagi itu membabitkan seramai 27 orang pegawai dan anggota yang turut dibantu unit penguatkuasaan JIM Bukit Kayu Hitam.

Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin berkata, seramai 30 warga Myanmar, empat (Pakistan), dua (Nepal) dan seorang warga Bangladesh berusia antara 21 hingga 47 tahun ditahan.

Menurutnya, tumpuan operasi dilakukan di lot gerai penjaja ikan dan sayuran berikutan majoriti peniaga menggunakan khidmat warga asing sebagai pembantu mereka.

"Seramai 125 orang dari pelbagai negara yang berusia antara 18 hingga 51 tahun diperiksa.

"Ramai yang bertempiaran melarikan diri dan ada yang cuba meloloskan diri melalui pagar dan bersembunyi di celah lori, kotak dan bekas ikan serta sayuran

"Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan oleh anggota bertugas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Zuhair berkata, kesemua warga asing yang ditahan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa sebarang dokumen yang sah.

Selain itu, katanya, dua saman turut dikeluarkan terhadap majikan tempatan kerana dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah.

"Majikan ini disiasat mengikut Seksyen 55B/55E Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi perlindungan kepada warga asing dan menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

"Kesemua yang ditangkap akan dibawa ke Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar untuk siasatan lanjut dan seterusnya dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik Kedah," katanya.

Zuhair turut menegaskan akan memburu warga asing yang tidak mengambil peluang untuk menyertai Pelan Rekalibrasi Pulang atau Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja di bawah JIM.

Katanya, pelan itu akan berakhir pada 30 Jun depan.

"Tempoh yang diberikan kepada pelawat warga asing yang terkandas ketika penularan Covid-19 untuk pulang ke negara asal secara sukarela tanpa dikenakan sebarang tindakan juga sudah berakhir pada Rabu lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 9:42 PM