GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan 91 kes kemalangan membabitkan penunggang penghantar makanan dan barangan, p-hailing di negara ini, sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya Datuk Azisman Alias berkata, daripada jumlah itu 17 kes membabitkan kematian, 10 kes cedera parah dan 64 kes cedera ringan.

Menurutnya, jumlah itu meningkat ketara berbanding pada 2019 yang mencatatkan hanya satu kes kematian dan lima cedera ringan.

"Oleh itu, laporan baru-baru ini yang menyatakan penunggang p-hailing menyumbang dua per tiga daripada 2,576 kes kemalangan maut membabitkan motosikal adalah tidak tepat.

"Berdasarkan statistik JSPT pada 2019, mencatatkan sebanyak 3,959 kematian membabitkan pengguna motosikal berbanding 3,118 kematian pada 2020 iaitu menurun 21 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menasihati semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa merujuk sumber daripada JSPT kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 3:18 PM