Noorhayati Mat Jusoh memberi minum Allahyarham Mohd Tahir Abdul Karim ketika hayatnya masih ada sebelum meninggal dunia hari ini di Kampung Pinang, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Noorhayati Mat Jusoh memberi minum Allahyarham Mohd Tahir Abdul Karim ketika hayatnya masih ada sebelum meninggal dunia hari ini di Kampung Pinang, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Peniaga roti canai yang menghidap kanser prostat yang kisahnya disiarkan akhbar Harian Metro pada Rabu lalu, meninggal dunia di Hospital Alor Gajah, pada 10 pagi hari ini.

Allahyarham Mohd Tahir Abdul Karim, 57, meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak petang Selasa lalu apabila mengadu sesak nafas kepada isteri, Noorhayati Mat Jusoh, 52.

Menantu arwah, Arshad Nordin, 25, berkata keluarganya menerima panggilan daripada pihak hospital pada 9.30 pagi memaklumkan arwah sedang nazak.

"Ibu mentua, isteri saya dan beberapa saudara mara lain bergegas ke hospital, tetapi dalam perjalanan mereka menerima panggilan memaklumkan arwah ayah sudah tiada.

"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, di sini, petang ini," katanya ketika ditemui di kediaman arwah di kampung itu, hari ini.

Rabu lalu, akhbar Harian Metro melaporkan arwah hanya terlantar di atas katil akibat menderita barah prostat, sekali gus menyebabkan Noorhayati dan empat anak kehilangan dahan tempat bergantung hidup.

Noorhayati dilaporkan berkata, arwah suaminya menghidap penyakit berkenaan setahun lalu dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu.

Katanya, keadaan arwah suami bertambah buruk sejak Januari lalu yang menyebabkannya tidak dapat berjalan, apatah lagi mencari rezeki menebar roti canai.

Berikutan itu, Noorhayati dan anak hanya bergantung kepada ihsan sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan memberikan sumbangan untuk mereka meneruskan kehidupan.

Mereka mempunyai empat anak dengan anak sulung, perempuan berusia 23 tahun sudah mendirikan rumah tangga manakala yang kedua, perempuan berusia 19 tahun masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Lendu, Alor Gajah.

Anak ketiga, lelaki berusia 18 tahun mengalami masalah penglihatan dan anak bongsu perempuan masih belajar di tingkatan empat.

Sebelum ini, arwah dan Noorhayati berniaga roti canai di Medan Selera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Bukit Beringin, di sini.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Noorhayati di talian 017-6736249.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:49 PM