TANGKAP layar daripada video insiden berkenaan yang tular.
TANGKAP layar daripada video insiden berkenaan yang tular.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dengan pergaduhan di hadapan sebuah restoran di Damai Perdana, Batu 9 Cheras, di sini, pada 9 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 11.40 malam hari yang sama.

"Dalam kejadian ini, terdapat seorang lelaki berusia 27 tahun dibawa ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan selepas dilaporkan cedera.

"Bagaimanapun, mangsa dibenarkan pulang dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, bertindak atas maklumat siasatan, pihaknya menahan empat lelaki berusia 19 hingga 28 tahun pada 13 April lalu di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Permohonan reman terhadap empat suspek terbabit dilakukan di Mahkamah Kajang dan mereka dibenarkan reman bermula 13 sehingga 18 April ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 30 saat menunjukkan sekumpulan individu bergaduh dengan memukul seorang lelaki menggunakan kerusi di hadapan restoran berkenaan tular di media sosial sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 9:42 AM