GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pelayan restoran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas teman wanitanya menggunakan sebatang tukul besi, bulan lalu.

Bagaimanapun, Mohd Izham Hiffnie Mahadir, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Norzalizawati Md Nor, 41, menggunakan sebatang tukul besi di sebuah rumah kedai di Taman Desa di sini pada kira-kira 8 malam, 3 Mac lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan difahamkan tiada ahli keluarga tertuduh hadir ke mahkamah untuk menjaminnya.

Dalam prosiding itu, Mohd Izham Hiffnie tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 1:25 PM