PEKERJA merobohkan khemah bazar Ramadan  selepas kerajaan Kelantan membatalkan bazar Ramadan di Perkarangan Stadium Muhammad IV. FOTO arkib NSTP
PEKERJA merobohkan khemah bazar Ramadan selepas kerajaan Kelantan membatalkan bazar Ramadan di Perkarangan Stadium Muhammad IV. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Seorang peniaga terpaksa menjual lebih 500 biji kelapa pada harga modal selepas kerajaan Kelantan membatalkan semua bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negeri susulan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Peniaga kelapa, Zahari Awang, 65, dari Kampung Sri Kulim, Melor, di sini, berkata, dia membeli kelapa pada harga RM1 tidak termasuk upah panjat RM0.50 dan bercadang menjualnya pada harga RM1.80 sebiji.

Katanya, bekalan kelapa itu sebenarnya ditempah oleh peniaga lauk-pauk dan kuih-muih di Bazar Ramadan Melor, namun selepas dimaklumkan mengenai pembatalan bazar Ramadan, mereka tidak meneruskan pembelian.

"Terkejut dengan apa yang berlaku namun perasaan itu sedikit reda apabila anak, Nurulhuda, 33, dan menantu, Muhammad Imran Hashim, 31, sepakat menjual bekalan kelapa itu pada harga modal saja tanpa sebarang keuntungan.

"Saya ambil keputusan jual RM1.50 sebiji kepada pembekal santan di kampung ini bagi memastikan kelapa yang sudah dikait terjual. Setakat semalam sudah 300 biji terjual," katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagi peniaga air minuman air berkarbonat, Redzuan Yaacob, 40, dari Kubang Kerian berkata, dia sudah mengeluarkan modal berjumlah RM25,000 membeli stok bekalan untuk jualan di dua tapak Bazar Ramadan masing-masing di pekarangan Stadium Sultan Mohamad V dan Kubang Kerian.

"Saya berpengalaman berniaga sejak 21 tahun lalu, sudah dapat mengagak air botol akan dapat permintaan tinggi, oleh itu pada tahun ini saya meminjam wang daripada kakak saya.

"Stok sudah sampai empat hari lalu, sekarang saya sedang memikirkan kaedah terbaik untuk menjual bekalan yang ada ini seperti mencari tapak baharu dan jualan secara dalam talian," kata bapa kepada empat cahaya mata ini.

Semalam, kerajaan Kelantan mengumumkan peruntukan RM1.5 juta sebagai sumbangan kepada 2,500 peniaga yang terkesan berikutan pembatalan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 1:19 PM